Monday 5 August 2013

DIDCHUKNOW10 [Julai '13] - Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t.

Bertemu kembali dalam entri khas Abam DiDiY edisi Julai 2013. DIDCHUKNOW10 adalah entri bulanan istimewa Abam DiDiY. Setiap hujung bulan, abam akan pilih satu topik. Then abam akan ulas 10 fakta menarik mengenainya. Bersempenan dengan bulan Ramadhan yang masih berbaki nieh, abam pilih tajuk RAMADHAN sebagai topik perbualan. 10 Peristiwa Penting yang pernah berlaku dalam bulan Ramadhan.
..............................................................................................


Ramadhan menyimpan pelbagai peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW, para sahabat serta umat Islam terdahulu. Peristiwa-peristiwa ini cukup mustahak kerana ianya menyingkap pelbagai pahit manis serta cabaran yang ditempuhi oleh mereka dalam membawa agama ALLAH ke tahap tertinggi seperti yang kita lihat sekarang. Bulan Ramadhan menyaksikan beberapa siri peperangan yang disertai umat Islam disamping kematian beberapa tokoh Islam terkemuka.
 ..............................................................................................


1. Nuzul Quran (Penurunan Al-Quran)
Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia. Penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu adalah pemisah antara hak dan batil atau yang batul mahupun salah.
Penurunan lima ayat pertama surah Al-Alaq yang disampaikan oleh Malaikat Jibril sudah cukup untuk menggeletarkan jiwa Baginda SAW. Baginda pulang ke rumah dalam keadaaan tergesa-gesa lalu jatuh sakit setibanya di rumah. Peristiwa ini juga begitu sinonim dalam mengajak manusia untuk membaca kerana perkataan pertama yang diturun ALLAH daripada Luh Mahfuz adalah Iqra' yakni "Bacalah". Peristiwa penurunan ayat pertama Al-Quran ini juga menandakan perlantikan secara rasmi Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.



2. Fathu Makkah (Pembukaan Kota Mekah)
Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dengan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukakid (antara Asfan dan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Peristiwa pembukaan Kota Mekah ini bererti kemenangan bagi seluruh kaum muslimin ketika itu. Peristiwa bersejarah ini berlaku pada tanggal 21 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah.



3. Perang Badr
Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan 2H. Dalam peperangan tersebut, ALLAH SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrikin Mekah. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Sebanyak 313 orang tentera muslimin di bawah pimpinan Rasulullah telah mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera Quraisy.
Gambar Illustrasi
"Dan sesungguhnya ALLAH telah menolong kalian dalam Perang Badr, padahal kalian dalam keadaan lemah (sedikit). Oleh itu, bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu bersyukur (akan kemenangan tersebut)."  (Ali Imran: 123)



4. Persediaan Perang Khandak
Perang Khandak (Perang Parit) atau Perang Ahzab (himpunan suku kaum yang bersatu) adalah peperangan ketiga yang disertai umat Islam selepas Badr dan Uhud. Perang ini berlaku pada bulan Syawal 5H, namun persediaan menghadapi peperangan ini bermula sejak bulan Ramadhan lagi. Salah satu perkara menarik mengenai perang ini di mana adanya proses penggalian parit di sekeliling Madinah hasil ilham Salman Al-Farisy. Gali-menggali parit ni adalah sangat rare dalam kalangan bangsa arab terdahulu. So, pabila tentera Musyrikin Mekah datang ke Madinah, terkejut dok la mereka. Tentera musyrikin Mekah mengalami kekalahan teruk dalam peperangan ini dan hal ini sekaligus menyebabkan bangsa Quraisy hilang perdagangan serta darjat mereka.



5. Perang Tabuk
Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab. Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah. Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.



6.Khalid Al-Walid Meruntuhkan Berhala Al 'Uzza
Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla. Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir



7. Islam Tiba Di Yaman
Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera di bawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu Wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjemaah bersama Saidina Ali r.a. pada hari itu.



8. Berkembangnya Islam Di Bumi Andalusia (Sepanyol dan Portugal)
Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus. Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah.

Antara peristiwa yang memotivasikan tentera-tentera ALLAH ini semasa perang adalah apabila Tariq binZiyad mengarahkan tenteranya membakar kapal-kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Rhoderic. Beliau berkata, "Sesungguhnya, Syurga ALLAH terbentahng luas di hadapan kita, dan di belakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun Syahid". Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera kafir pimpinan Raja Rhoderic, malah turut membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sinilah bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus dan Islam menguasainya selama lapan abad.



9. Tertawannya Garis Bar Lev, Israel
Pada Tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamakan Garis Bar Lev bersempena dengan nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev. Israel bermegah dengan kubu Bar Lev mereka yang didakwa 'tidak dapat ditawan' kerana mempunyai kekebalan serta teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya juga menawan kubu tersebut sekaligus mengalahkan tentera Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah perana  seorang sarjana Islam merangkap Imam Masjid Bandar Suez, Allahyarham Syeikh Hafiz Salamahyang mengambil alih pimpinan operasi peperangan. Beliau mengambil alih jawatan ini apabila Gabenor Daerah meletakkan jawatan. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya mengasak tentera Israel yang terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.



10. Perang 'Ain Jalut
Kemenangan terbesar kaum muslimin ke atas pasukan Mongol berlaku pada 25 Ramadhan 658H. Tentera Islam dan para ulama' pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di 'Ain Jalut. Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan pabila berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberikan nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila  Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.
..............................................................................................


 
Reference
..............................................................................................

Ramadhan memang penuh dengan keberkatan. Banyak kejayaan Islam yang dicapai dalam bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun kejayaan itu memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh daripada kita. Kejayaan itu tidak datang dengan percuma. Kejayaan itu perlukan tarbiyah. Kejayaan itu perlukan persediaan. Kejayaan itu ada maharnya. Kejayaan umat Islam itu berpaksikan keimanan.


Alhamdulillah, entri DIDCHUKNOW10 kali ni berjaya jugak diupdate...
Yang baik itu daripada ALLAH, Yang buruk itu khilaf abam sendiri...
Wallahua'lam... 

Anda suka akan entri DIDCHUKNOW10 kali ini??
Ce Like Sikit~